Click Here For Free Blog Templates!!!
Blogaholic Designs
Thursday, July 19, 2012

:: Yang Pertama & Yang Dekat ::

ini karya pertama saya
(dalam bentuk novel)
ada yang suka
ada yang kurang suka
anda pula bagaimana?
jom layan...


KALIMAH CINTAMU - BAB 1

“ALEYA WIRDANI HAJI AZMIL!” Mak oi! Penuh nama aku kau panggil. Aku hanya membiarkan sahaja jeritan Airy. Langkah kuatur semakin laju. Sekali-sekala menoleh ke belakang. Cepat juga mamat ni mengejar. Belum sampai beberapa minit, tanganku sudah disambarnya. Kejap. Aku terdorong ke belakang. Terhuyung-hayang aku dibuatnya. Nasib baik aku sempat memaut lengannya, kalau tak—cium jalan rayalah jawabnya.
“Sakitlah,” rengusku geram.
Aku cuba melepaskan pegangan tangannya. Tanganku dilepasnya perlahan. Airy senyum sumbing. Tersenyum-senyum, aku bagi penampar karang, baru tahu!
“Tahu pun sakit, yang kau buat aku terkejar-kejar ni—ingat tak penat ke? Apa kau ingat, kita ni nak buat larian maraton ke? Waktu sekolah dulu tak pula kau nak buat aktiviti ni, dah besar panjang macam ni baru sibuk nak buat larian ni,” ngomel Airy termengah-mengah. Dah dikaitkan pula dengan aktiviti yang paling aku tak suka.
“Siapa suruh kau kejar aku? Ada aku suruh? Sendiri yang cari pasal, kita pula yang nak disalahkannya.” Selamba sahaja aku menjawab soalannya. Langkahku yang tadi mati kembali kuhayun. Dia kembali mengekori.
“Wirda! Wait for me. Penat yang tadi pun tak hilang lagi, dah nak kena sambung balik. Cuba kau bagi aku peluang terangkan perkara yang sebenar. Dengar dulu apa yang aku nak cakapkan ni,” pinta Airy lembut. Macam nak menggodalah pula aku dengar. Geli-geleman dibuatnya.
“Kalau kau hanya nak bincangkan pasal mamat cipan tu, lupakan sahajalah—buang masa, buang air liur sahaja.”
Cipan lagi aku sebut. Dah sebati betullah nama binatang ni dengan aku, sampai asyik sebut nama tu aje. Emmm… tak ada binatang lain ke yang aku nak kaitkan? Yang lain pun nak tumpang glamour juga. Lain kalilah aku fikirkan.
“Kau ni, kenapa? Tiba-tiba sahaja naik angin. Sebab An ke? Wirda, kau kena ingat sikit yang An tu pun kawan…”
“Kawan aku? Excuse me! Entah siapa orangnya pun aku tak kenal, tiba-tiba kau kata dia kawan aku. Kau salah orang kut.” Pantas sahaja aku memintas kata-kata Airy.
“Tak kenal konon. Kalau tak kenal, tak duduk semeja. Ada ke orang yang kita tak kenal boleh duduk semeja dengan kita? Siap berborak-borak lagi. Mustahil, kan?” sindir Airy sinis. Aku terkedu.
“Mungkin dia nak mengurat aku kut. Kita bukan tahu.”
“Dalam dunia ni tak ada perempuan macam kau ni, akan layan lelaki yang tak dikenali. Tak kiralah lelaki tu nak mengurat ke, apa ke! Macam-macam kes sekarang ni. Kes rogol, bunuh—kau tak takut ke?” giat Airy sengaja mahu menakutkan aku. “Kalau iya pun nak mengurat, takkan boleh duduk semeja lama-lama macam tu. Siap dilayan lagi. Lepas tu, bersembang mengalahkan macam dah kenal lama. Itu yang kau kata tak kenal?”
“Apa yang kau katakan tu, memang betul. Tapi… kau kena ingat yang tak ada siapa pun kata, kalau kita tidak mengenali seseorang, kita tak boleh duduk semeja. Tak ada teori yang mengetengahkan perihal ini. Kita ni dekat Malaysia. Berbilang bangsa dan pelbagai budaya. Orang berbudi, kita berbahasa.”
“Kalau dah macam tu, kenapa harus disakiti pula hatinya? Apa kau dah tak pandai nak berbahasa?”
Aku pula yang kena. Mamat cipan ni betul-betul tak nak bagi aku hidup aman tau. Nanti kau mamat cipan, aku dapat kau, tahulah apa yang aku nak buat. Aku siat-siat kulit kau. Buat sate.
“Ah… dahlah, Airy, aku rasa kau pun tahu kan kenapa aku buat macam tu. Aku tak suka kalau kita bangkitkan hal dia. Dia dah lama mati dalam minda aku ni.”
“Hanya di minda, Wirda, di hati masih utuh, kuat dan kukuh. Aku dapat melihatnya. Buang keegoan kau tu, Wirda. Nanti kau yang menyesal.” Sinis sahaja Airy memerli.
“Tak ada masa aku nak pahatkan nama dia dalam hati aku ni. Buat semak fikiran aku aje.”
Mampukah aku meluputkan namanya sedangkan bayangannya sering sahaja menghantui hidupku? Kasih Haiqal masih tidak mampu membuangkan dirinya jauh dari hati aku. Kau betul, Airy. Aku memang tak mampu nak lunturkan namanya di hati aku ini.
“Kembalikan Wirda yang aku kenal. Mana perginya sikap mengalah yang kau ada? Walaupun Wirda yang dulu mudah tersentuh dan terasa, namun dia ada satu sifat yang bukan semua orang ada. Hantu mana yang dah rasuk diri kau ni? Aleya Wirdani yang aku kenal bukannya begini,” getus Airy geram.
Maafkan aku, Airy. Aku tahu apa yang kau katakan itu betul, tapi… keadaan sudah jauh berbeza. Aku sudah menjadi tunangan orang, mana mungkin untuk aku kembali menagih kasih daripadanya. Hati aku ini masih ada lukanya. Aku belum bersedia untuk berhadapan dengannya.
“Tak ada hantu mana pun yang rasuk aku. Kau tu jangan nak merepek meraban tak tentu hala. Asal aku berbeza dari diri aku yang sebenar, mulalah kau kata aku kena rasuk hantu itulah, hantu inilah. Ada sahaja andaian yang kau nak buat. Sudahlah tu, aku dah malas nak dengar pasal dia lagi. Boleh tak kau faham yang satu ni? Noktah!”
Minah ni kalau dah dikatanya noktah, alamatnya terpaksalah aku mengakhiri mukadimah aku ni. Kalau diteruskan nanti, takut gunung berapi depan aku ni meletup pula. Lagi nahas dibuatnya. Lebih baik aku cari perlindungan, bisik Airy dalam dirinya.
“Jadi, sekarang ni kau nak hantar aku balik atau tidak? Kalau tak, aku balik naik teksi aje.” Aku cuba mengugut Airy. Biar dia gabra sikit. Kalau betul-betul dia suruh aku naik teksi, macam mana? Tak ke naya!
Airy terus melangkah menuju ke arah keretanya. Aku hanya mengekori dari belakang. Sudah malas melayan kerenah akulah tu. Mulutnya sudah berhenti mengomel itu dan ini. Bibirnya juga kulihat sudah tiada calitan senyum seperti selalu. Senyuman yang telah berjaya menawan hati Sa’adah.
Terasakah dia dengan sikapku? Adalah yang tak kena tu. Satu hal pula nak memujuk si Airy nanti. Ini semua mamat cipan tu punya pasallah. Tak pasal-pasal Airy merajuk dengan aku. Ah… biarkanlah, aku kena pujuk hati aku ini dulu sebelum aku memujuk hati lain.

“ASSALAMUALAIKUM…”
“Waalaikum…” Aku tergamam. Tidak jadi meneruskan kata-kata. Suaraku seakan hilang punca. Sangkaanku Airy yang sengaja ingin mengusik.
Mata kami bertentangan. Dia masih setia berdiri di hadapanku. Bola matanya masih tepat menjamah raut wajahku. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Manis. Masih macam dulu. Senyuman yang sukar untuk diperlihatkan. Aku cuba membalasnya, namun sedikit hambar.
“Boleh An duduk di sini?” tanyanya memulakan bicara. Aku hanya mengangguk, tanda menyetujui tindakannya.
“Seorang aje?” tanya Suffian lagi.
“Dengan kawan,” jawabku ringkas.
Dia masih mengukir senyuman. Senyuman yang pernah aku rindukan dulu.
“Kawannya mana? Belum sampai lagi ke?”
Banyak tanya pula mamat ni. Naik juga penangan aku karang. Hilang sabar juga aku dibuatnya.
“Dia pergi tandas,” ujarku acuh tidak acuh. Lain yang tersirat di hati, lain pula yang terungkap di bibir.
Aku membiarkan masa berlalu tanpa butir bicara lagi. Airy ni ke mana pula perginya? Naik sesak nafas aku dibuatnya. Hendak aku tinggalkan tempat ini, takut Airy mencari pula. Barang dia semuanya pada aku. Macam mana ni? Cepatlah, Airy, selamatkanlah rakanmu ini.
Anak mata Suffian masih tidak lepas memandang raut wajahku. Aku cungkil juga biji matanya baru tahu. Biar buta! Padan muka! Kalau dulu dia lakukan begini, mungkin aku tiada halangan. Ah… itu semua sudah lama berlalu.
Sorry, Wirda, aku buat kau menunggu. Perut aku sakitlah. Kau dah order makanan ke belum?” sapa Airy sambil tersenyum sumbing.
Terkejut aku dibuatnya. Nak bagi aku mati terkejut apa mamat ni?! Aku menghulurkan kunci kereta dan handphonenya. Kulihat reaksi Suffian—sama macam selalu. Berubah reaksinya bila berdepan dengan Airy. Permusuhan apalah yang berlaku di antara mereka, tidak aku ketahui. Selalunya Suffian sahaja yang begitu, Airy langsung tak luak pun dengan sikap Suffian yang satu itu.
“Eh, Airy, kau pun ada di sini? Jadi…” Suffian tidak meneruskan kata-katanya. Mata mereka bertentangan.
Airy yang baru menyedari akan kewujudan Suffian segera mempamerkan senyuman. Tangan yang dihulur Suffian dijabatnya mesra. Macam jejak kasihlah pula aku tengok. Nasib baik tiada adegan lelehan air mata. Eh… dia orang kan lelaki, tak macholah kalau menangis.
“Maafkan aku, An, aku tak perasan tadi. Kau buat apa sekarang? Lama betul aku tak jumpa kau, sejak family kau berpindah ke London rasanya. Seingat aku, last aku jumpa kau… waktu kita terserempak kat Penang hari tu. Family kau masih di sana ke?”
“Usshh… banyak betul soalannya. Mana satu aku nak jawab ni?” Suffian senyum sinis. “Sekarang, aku tolong pak long aku kat syarikat dia. Family aku masih lagi dekat sana. Entah bilalah nak balik Malaysia, aku sendiri pun tak tahu. Agaknya terus menetap di sana kut.” Senyumannya singgah lagi di bibir.
Beria-ia kulihat Airy mengangguk. Dah macam burung belatuk.
“Kau buat apa dekat sini?”
“Nak makanlah. Apalah kau ni, Airy.” Suffian ketawa kecil. Airy turut ketawa.
“Marilah join kami. Bolehlah kita bercerita panjang. Boleh juga bertukar-tukar cerita.” Selamba sahaja Airy mempelawa Suffian.
Terbeliak mata aku mendengar pelawaan Airy. Bukannya nak minta persetujuan dari aku dulu. Aku tak boleh diamkan ni. Aku kena ambil tindakan. Aku tahulah dia orang dah lama tak jumpa, tapi agak-agaklah. Apa dia ingat aku ni tunggul kayu kat sini?
“Airy, jom balik. Aku dah tak ada selera nak makan kat tempat ni. Kita makan kat tempat lain sahajalah,” ujarku yang sedari tadi membisu.
Kakiku sudah bersedia untuk melangkah, namun tangan Airy lebih pantas menyambar tanganku. Aku terkedu.
“Kenapa ni, Wirda? Kita kan tak makan lagi. Tadi, kau yang beria-ia nak makan di sini. Sekarang ni…”
“Itu tadi! Sekarang ni selera aku dah mati. Kalau kau nak makan kat sini juga… terpulanglah,” bentakku. Aku segera menarik tanganku dari pegangan Airy. Aku terus mengatur langkah.
“Pergilah, Airy. Aku rasa kau pun tahu kan kenapa dia macam tu...”
Bicara itu bagai menampar-nampar gegendang telingaku. Geram pula rasa hati ini. Kalau dah tahu apa yang aku rasa, yang kau terpacak depan aku tu, kenapa? Saja nak cari bala? Saja nak buat aku sakit hati?
Aku terus berlalu tanpa mempedulikan mereka berdua. Airy sudah terkejar-kejar di belakangku. Perasaan marah, sedih, gembira, geram, semuanya bercampur baur. Mengapa dia perlu muncul tatkala dirinya sudah mampu aku lupakan? Adakah ia terjadi secara kebetulan? Dugaankah ini?

SEPANJANG perjalanan yang kami lalui, dirasakan sepi. Tanpa gelak tawa mahupun usikan seperti biasa. Hanya alunan muzik yang kedengaran dari corong radio. Airy yang masih memandu kulihat sepi tanpa segaris senyuman seperti selalu. Hanya jari-jemarinya sahaja yang rancak menari-nari mengikut alunan muzik. Aku di sebelah, sedikit pun tidak dipedulikan. Masih membiarkan aku sendiri. Seumpama mahu menghukumku. Marahkah dia terhadapku sehingga sanggup membiarkan aku begini?
Suasana malam yang disinari lampu neon di sepanjang jalan makin membuatkan hatiku tidak keruan. Memikirkan pertemuan yang tidak diduga sebentar tadi juga Airy yang entah apa rajuknya. Terasa bagaikan ingin sahaja aku menjerit agar apa yang berlegar di fikiranku ini berlalu jauh meninggalkan benak fikiranku. Air mata yang kutahan sedari tadi, sudah mula membasahi pipi. Lemahnya aku untuk menerima ketentuan daripada-Nya.
Air hangat itu semakin laju membasahi pipi. Airy masih dengan pemanduannya. Masih membiarkan aku terkapai-kapai sendirian. Marah benar dia terhadapku. Aku masih melontarkan pandangan, melihat persekitaran di sepanjang perjalanan. Airy masih membeku di sebelahku. Kegalauan di hati makin membuatkanku lemas. Aku menyeka air mata yang masih berbaki.
“Dah puas? Hilang serilah kalau kau menangis macam ni. Tak cantik tau!” Airy senyum. “Sudah. Nah… lap air mata tu,” Airy cuba memujuk. Sapu tangan yang dihulurnya kucapai lembut.
“Kau marahkan aku, Airy?” soalku dalam esak tangis yang masih bersisa. Airy hanya tersenyum.
“Tak! Tak ada sebab aku nak marahkan kau, Wirda. Aku faham perasaan kau.”
“Maafkan aku ya. Aku tak patut babitkan kau. Aku tak sepatutnya marah kau tadi. Aku tahu kau marahkan aku. Mesti kau terasa, kan?”
“Tak apa, aku tahu fikiran kau tengah runsing. Sudah, jangan nak fikir yang bukan-bukan. Aku tak marah kau. Aku sengaja biarkan kau sendirian. Biar apa yang ada di dalam fikiran kau tu dapat kau lupakan.”
Airy memang begitu. Sentiasa fikirkan yang terbaik untuk diriku. Aku marah, atau apa sahaja, dia tetap selamba. Sentiasa tenang dalam apa jua keadaan sekalipun. Satu sifat yang amat aku kagumi. Untung aku dapat kawan macam dia, kan?
Suasana kembali sepi. Hanya deruan angin dan bunyi enjin yang jelas kedengaran. Aku masih membiarkan sepasang mataku melilau-lilau melihat sekeliling. Sekali-sekala mencuri pandang raut wajah Airy yang kulihat tenang dalam pemanduannya. Sudah menjadi sikapnya, memandu dalam keadaan yang paling selamat.
“Kau ni, kenapa? Duk tenung aku macam nak makan aku aje. Pandang depan! Nanti lain pula yang jadi,” sapa Airy mematikan lamunanku.
Bukan aku tidak mahu engkau memandangku, Wirda. Aku takut jika diri ini jatuh sayang pada raut wajahmu, yang sudah berjaya menawan hatiku ini.
Malunya aku… Macam mana pula dia boleh perasan? Mesti dia fikir yang bukan-bukan ni. Ah… aku bukannya tengok kau sebab aku syok kat kau.
“Jangan nak perasanlah, Airy. Siapa kata aku tengok kau? Muka macam cipan, naik jemu aku tengok muka kau. Tau tak?”
 Aku tergelak kecil bila mengingatkan kembali kata-kataku tadi. Cipan lagi yang terkeluar. Glamour betullah si cipan ni. Kalaulah cipan ni artis, comfirm popular. Jangan-jangan boleh dapat Anugerah Bintang Popular.
“Kau cakap muka aku yang kacak ni macam cipan? Bertuah punya kawan. Cipan-cipan aku pun, inilah kawan yang selalu hiburkan hati kau tau tak? Sudahlah, kita kembali ke topik asal kita yang tergendala tadi.”
Topik asal? Topik apa pula yang aku dan dia bincangkan tadi?
“Wirda, kau dengar apa yang aku nak cakap ni. Jangan nak fikir yang negatif. Aku tak berniat nak mencampuri urusan kau, tapi sebagai kawan, aku perlu bincangkan hal ni dengan kau.” Aku hanya mengangguk, mengiakan kata-katanya.
“Setiap apa yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Kau dah kehilangan dia sekali, maksud aku An. Takkan kau nak kehilangan dia buat kali kedua? Jangan sia-siakan perhubungan yang pernah kau jalinkan dengan dia dulu. Cuba kau pujuk hati kau untuk terima dia. Kembali macam dulu. Mesti okey, kan?” pujuk Airy lembut.
“Tapi, Airy, tak semudah itu. Hati aku ni masih ada lukanya. Segala apa yang dia lakukan, masih meninggalkan kesan dalam diri aku ini. Jika aku inginkan hubungan seperti dulu, kau yakin dia mampu jaga perasaan dan hati aku? Airy, aku kini sudah menjadi tunangan orang. Itu kau kena ingat. Soal An, tu kisah lama. Memang aku pernah suka dekat dia. Suka yang macam mana, aku tak tahu. Dia hanya kawan baik aku.”
“Aku tahu kau orang ada simpan satu perasaan yang sukar ditafsirkan. Masing-masing tidak mahu meluahkannya. Kau masih belum terlambat, Wirda.”
“Airy! Kau jangan jadi gila. Haiqal sudah cukup baik untuk aku, Airy. Kasih sayang dia sudah cukup membahagiakan aku. Tak guna aku mengharap kasih dari orang lain jika hatinya sendiri masih tidak dapat diselami.” Mutiara kaca yang tadinya sudah berhenti kembali membasahi pipi.
Airy memberhentikan keretanya di bahu jalan. Dia kaget dengan apa yang berlaku. Sangkaannya mungkin aku tidak akan mengalirkan air mata lagi.
“Sudahlah, Wirda. Janganlah menangis macam ni, aku tak pandai nak pujuk. Kau jangan buat aku panik pula. Tadi kau dah menangis sakan pun, sudah cukup buat aku kecut perut. Jangan buat aku terjerut pula. Benda yang sudah lepas, biarkanlah. Kita lupakan ya. Kita tak payah ungkit tentang hal ni lagi. Aku janji.” Dia mengangkat tangan kanannya seakan bersumpah. Aku kembali tenang.
Airy memang akan kalah dengan air mataku. Katanya, dia tidak sanggup melihat aku bersedih dan dia hanya mahu aku tersenyum riang. Mana mungkin perkara itu berlaku. Aku ini manusia. Hari ini aku kalah lagi. Kalah dengan perasaan hatiku sendiri. Aku telah membuat dia risau lagi. Aku tak dapat bendung air hangat ini daripada terus bertakung di kolam mata. Maafkan aku, Airy.
“Terima kasih, Airy, sebab faham perasaan aku.”
Airy hanya tersenyum.
Khushairy Azran, seorang rakan yang amat memahami diriku. Susah senang selalu bersama. Sejak di alam persekolahan sehinggalah kini. Perhubungan yang pada mulanya bagai anjing dengan kucing akhirnya bertukar menjadi perhubungan yang akrab. Akan kujaga perhubungan ini sehingga ke akhir hayat hidupku.


macam mana?
ada rasa nak lagi?
kalau ada
tunggu ya...

           

 free glitter text and family website at FamilyLobby.com

0 gosip-gosip: